Bantuan kewangan Pemulih diluaskan untuk syarikat MM2H

KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memperluaskan bantuan kewangan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada syarikat “Malaysia My Second Home” (MM2H) yang berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac).

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan tersebut merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi memulihkan perniagaan yang terjejas teruk akibat Covid-19 terutama dalam rantaian sektor pelancongan.

“Penyerahan bantuan bernilai RM3,000 ini merupakan kali kedua kepada syarikat MM2H yang layak di bawah Motac melalui inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa),” katanya.

Beliau juga yakin dengan pembukaan sempadan negeri bermula 11 Oktober lalu dapat membuka jalan dan ruang untuk memulihkan kembali sektor pelancongan dan seterusnya dapat membina kembali ekonomi negara.

Tambahnya, terdapat tujuh bantuan kewangan yang telah dilaksanakan oleh Motac untuk membantu pemain industri seperti Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020; Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia 2021 (Permai) dan Pakej Belanjawan 2021.

“Bantuan lain termasuk Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) 2021; Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +) 2021; Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) 2021 dan Geran Khas Prihatin 2021,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak