Bawa dadah, penjual roti canai berdepan hukuman gantung

MUKAH: Seorang penjual roti canai berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan bersama dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 51.60 gram dalam satu serbuan di Jalan Selangau – Bintulu pada Ahad.

Suspek yang juga seorang wanita berusia 40 tahun itu ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira jam 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Suprintenden Polis(DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis menjumpai satu peket plastik lutsinar besar yang di dalamnya terdapat dua peket plastik lutsinar sederhana besar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Turut dijumpai katanya, satu peket plastik lutsinar sederhana besar yang mengandungi lima peket plastik lutsinar kecil juga disyaki disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Bahan-bahan terlarang itu ditemui di dalam beg silang berwarna hitam yang disilang di badan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dengan penagihan dadah sejak tahun 2010 sehingga sekarang, manakala saringan awal ujian air kencing terhadapnya positif dadah jenis amphetamine.

“Suspek kini ditahan di Balai Polis Mukah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dengan 15 kali sebatan,” katanya.

Bahan kes yang turut dirampas

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak