Belanjawan 2022: Inklusif, berteraskan rakyat

KUCHING: Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menyokong sepenuhnya belanjawan negeri yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa.

“Saya menyokong sepenuhnya belanjawan negeri yang telah diluluskan bagi tahun 2022 yang bersifat inklusif, berteraskan rakyat dan meneruskan kesinambungan agenda pembangunan di Sarawak,” katanya.

Menurutnya, walaupun dinyatakan dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 bahawa belanjawan tidak perlu mendapatkan kelulusan Dun Sarawak, kerajaan negeri tetap mengambil inisiatif.

“Kerajaan negeri pimpinan ketua menteri telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama semua Adun. “Ini untuk menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam menggubal belanjawan negeri untuk tahun hadapan dan memberi penjelasan berkenaan dengan isu-isu berbangkit,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Bukan itu sahaja, ia juga bagi memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menggunakan dana rakyat.

“Justeru, saya menyambut baik belanjawan negeri untuk tahun 2022 yang berjumlah RM10.646 billion, dengan RM6.6 billion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM4.046 billion untuk perbelanjaan pengoperasian,” ujarnya.

Tambah Fazzrudin, Belanjawan 2022 yang bersifat ‘pengembangan’ adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat yang berteraskan menyelamatkan nyawa dan memastikan kelangsungan hidup semasa pandemik Covid-19.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri menyambut baik penyertaan belia dalam proses demokrasi negara melalui pelaksanaan Undi 18. Ulasnya, belia masa kini sudah matang, berpengetahuan dan telah mendapat pendedahan sewajarnya dalam proses pentadbiran negara.

“Golongan ini juga cakna dengan perkembangan politik semasa dan juga dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya. Mengulas lanjut, Fazzrudin berkata, bagi kerajaan negeri, ia telah mewujudkan pelbagai inisiatif dan program yang telah memberi manfaat kepada golongan belia, khususnya dari segi pendidikan.

Antara manfaat tersebut katanya ialah, insentif untuk membayar 30 peratus daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam yang layak. Selain itu tambahnya, kerajaan negeri juga telah mewujudkan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) untuk pelajar Sarawak yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung, Sabah dan Labuan.

“Ini juga disokong oleh Sarawak Volunteers (SV) yang membantu anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang berdepan masalah dan kesulitan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Jelas  Fazzrudin, ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri dalam memberi manfaat kepada golongan belia. “Saya percaya golongan belia dapat menilai dengan sendiri pentadbiran dan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam memperkasakan peranan belia,” ujarnya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak