Biarpun poket seluar saya pecah seribu!

KISAH ayah jawab persoalan netizen mengenai kegigihan Uncle Kentang untuk membantu menguruskan kes kematian masyarakat yang serba kekurangan dan sangat memerlukan.

Tulisan Aktivis Kemasyarakatan, Kuan Chee Heng di ruangan Facebook semalam sangat menyentuh hati.

Mengapa saya gigih cari orang mati tiada duit?

Katanya, melihat jasad mendiang ayah terbaring kaku di bangku panjang bertutup tikar mengkuang sementara menunggu abang meminjam wang ke sana sani, kekal terpahat di memori.

“Kenangan lalu yang menyayat hati saya dan keluarga.

“Abang terpaksa meminjam RM3,000 daripada pemilik Jaya Watch, Sea Park, Petaling Jaya untuk menguruskan pengebumian mendiang ayah.

“Justeru, saya bersumpah biarpun poket seluar pecah tiada duit, saya akan tetap berusaha membantu masyarakat yang tidak mempunyai belanja untuk menguruskan kematian sesiapa pun.

“Kerana, saya ada di situ ketika itu, ketika kami hilang ayah dan tidak mampu menguruskannya…saya tidak mahu apa yang berlaku kepada kami sekeluarga terjadi kepada anda,” katanya dalam ciapan, semalam.

Berkat semangat gila dirinya bersama-sama sokongan masyarakat yang tidak putus-putus menyumbang, pasukan Uncle Kentang kini berjaya memiliki beberapa van jenazah.

“Saya memang gila bersama-sama anda semua.

“Semua duit itu hasil titik peluh dan penat lelah anda yang menderma.

“Saya sentiasa berdiri teguh bersama-sama keluarga yang tidak berkemampuan… bukan cari populariti, bukan hendak jadi selebriti tetapi saya mengerti makna kepasrahan ketika orang tersayang meninggal dunia dan poket ketika itu kosong.

“Maka, bercucuran air mata membasahi bumi, dan tatkala itu Tuhan menghadirkan saya untuk membantu,” ujarnya.

Beliau dalam ciapan lain tidak akan menghiraukan komen negatif di media sosial.

“Saya tidak akan layan komen negatif kerana saya faham dan tahu bagaimana peritnya kehilangan ayah akibat kanser, yang tidak mampu menyewa ambulans sehingga mendiang meninggal dunia dalam kesakitan.

“Sekarang saya seorang anak lelaki.

Saya jemput media duduk bersama-sama dan lihat berapa panggilan setiap pagi yang saya terima daripada mereka yang sakit, susah, lapar dan memerlukan bantuan.

“Kadang-kadang anak saya hairan ayah mereka tahan melayan begitu banyak panggilan dan mesej setiap hari.

“Rasa hendak dicampak telefon, namun apabila teringat wajah kesakitan ayah…saya gigihkan juga.
“Terus ke depan dan pantang undur,” tegasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak