Bot dimasuki air ketika bersauh

KUCHING: Bot yang dinaiki 10 pemancing termasuk tekong dan pembantunya karam disebabkan dimasuki air ketika bersauh ekoran laut bergelora di kawasan Culvert Gun, berdekatan perairan Pulau Satang.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata berdasarkan kenyataan tekong bot, Mohamad Nazri Bojeng, 42 tahun, dia keluar pada pagi semalam dari jeti Telaga Air menuju ke Pulau Satang dengan membawa lapan orang pemancing dan seorang pembantu.

Katanya, bot berkenaan tiba di Pulau Satang kira-kira jam 10.30 pagi dan menuju keluar dari Pulau Satang ke Culvert Gun, dua batu nautika dari pulau tersebut.

“Apabila mereka sampai di kawasan Culvert Gun, bot dikatakan hendak bersauh kerana laut pada ketika itu sedang bergelora.

“Bot mula dimasuki air melalui bahagian tepi serta belakang dan telah tenggelam sepenuhnya dalam tempoh lebih kurang empat jam berikutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, menyedari bot bakal karam, tekong mengambil tindakan untuk melepaskan kesemua kru dengan pembahagian secara dua kumpulan.

Katanya, kumpulan pertama adalah mangsa yang berusia telah dilepaskan untuk berenang ke Pulau Satang manakala selebihnya berpaut pada bot sehingga bot tenggelam sementara menunggu bantuan tiba.

Beliau memberitahu, kesemua mangsa pada ketika itu memakai jaket keselamatan dan tekong merupakan orang terakhir berenang dari posisi bot tersebut karam untuk menyelamatkan diri.

“Tekong juga mangsa pertama yang dijumpai dengan berenang ke bot pancing berhampiran, seterusnya memaklumkan posisi kru yang lain,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Zin Azman berkata, pencarian dilakukan sepanjang malam semalam dan pada awal pagi tadi dengan sembilan orang mangsa berjaya diselamatkan dan terus dibawa ke Jeti Telaga Air.

Bagaimanapun, katanya setakat jam 4 petang, pasukan penyelamat masih belum menemui sebarang petunjuk berkenaan mangsa yang hilang.

“Keluasan pencarian pada hari ini merangkumi seluas 164.57 batu nautika dan melibatkan sepuluh aset pasukan penyelamat terdiri daripada tiga aset Maritim Malaysia, sebuah dron Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM), sebuah kapal Pasukan Polis Marin, sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sebuah bot Jabatan Perikanan Laut Sarawak,” katanya.

Beliau menambah, beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut membantu melakukan pencarian di sekitar perairan Pulau Satang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak