Bukan warganegara Malaysia dan bukan penduduk asal Sarawak perlu mengisi EnterSarawak, mudahkan pengesanan kes Covid-19

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bercadang bahawa permohonan kemasukan melalui EnterSarawak masih diperlukan bagi bukan warganegara dan penduduk yang bukan berasal dari Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, ia dilakukan bagi memudahkan pengesanan kontak oleh Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah bagi pengembara yang memasuki Sarawak apabila terdapat kes yang dikesan positif Covid- 19.

“JKNS bercadang bahawa permohonan kemasukan melalui EnterSarawak masih diperlukan bagi bukan warganegara dan penduduk bukan berasal dari Sarawak selain daripada mereka yang bekerja atau menetap di Sarawak dengan tujuan kemasukan jelas dan alamat menetap mudah diperolehi.

“Bagi mereka yang tidak menetap di Sarawak, maklumat dalam EnterSarawak akan memudahkan pengesanan kontak agar langkah kawalan dapat diambil dengan cepat,” katanya hari ini.

Kata JPBN, sebagai contoh, Pejabat Kesihatan Bintulu mempunyai satu kes positif yang dikesan pada bulan Oktober 2021 dan mempunyai pergerakan dari Kuala Lumpur ke Sarawak.

“Kes ini tiba ke Sarawak dan mempunyai banyak pergerakan dan menginap di beberapa hotel sebelum dikesan positif,” jelasnya.

Tegasnya, kes ini juga mempunyai pergerakan ke Bakun dan setelah kembali dari Bakun ke Bintulu, kes didapati positif melalui saringan bergejala.

“Maklumat sejarah pergerakan ini amat penting untuk dilaporkan bagi memudahkan pengesanan kes dan kontak dengan cepat.

“Bagi kes yang tidak mempunyai maklumat seperti nombor telefon, alamat serta pergerakan, contohnya empat orang PATI yang dikesan di Sibu akhir tahun lepas, amat sukar bagi pasukan kesihatan untuk mengesan kes-kes berkenaan, dan ramai orang awam telah terdedah sebelum kes dapat dikesan dan ini termasuk penumpang bas yang sama, kontak di tempat penginapan dan lain-lain.

Menurut JPBNS lagi, pihaknya mengambil maklum cadangan teknikal tersebut dan bersetuju untuk menguat kuasa penambahbaikan ke atas tatacara kemasukan ke Sarawak yang telah diumumkan dalam Kenyataan Media JPBN pada 16 Oktober lalu.

“JPBNS ingin menjelaskan bahawa tatacara kemasukan ke Sarawak yang terkini bertujuan memudahcarakan kemasukan ke Sarawak, terutamanya bagi warga Sarawak serta individu yang menetap di Sarawak, di samping mengurangkan risiko penularan Covid-19,” ujarnya.

Justeru, JPBNS berharap semua pihak bersabar dan memberi kerjasama dalam kawalan wabak Covid-19.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak