Covid-19: Kadar jangkitan di Sarawak terus menurun, 749 kes bahar

KUCHING: Kadar jangkitan Covid-19 Sarawak terus mencatatkan penurunan apabila sebanyak 749 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 232,973 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, daripada jumlah tersebut 98.26 peratus atau 736 kes merupakan kategori klinikal 1 dan 2, manakala 13 kes lagi dalam kategori 3, 4 dan 5.

“Lima daerah yang merekodkan kes jangkitan tertinggi adalah Kuching dengan 186 kes, diikuti Miri (155), Sibu (96), Lawas (57) dan Bintulu (39),” kata JPBN dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JPBN memberitahu sebanyak 13 kes kematian direkodkan pada 9 hingga 18 Oktober dengan melibatkan korban masing-masing berusia 45 hingga 91 tahun.

“Dalam pada itu, Kluster Kampung Batu Kitang Jaya dan Kluster Kampung Dangak di Kuching diisytiharkan tamat, menjadikan sebanyak 44 kluster masih aktif di Sarawak setakat ini,” ujarnya.

Tambah JPBN, sebanyak lima rumah panjang di Julau, Pakan dan Sri Aman dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tempoh 18 hingga 28 Oktober.

“Manakala tiga lagi rumah panjang ditamatkan PKPD iaitu Rh. Bericha, Temiang, Batu Lintang, Undop Sri Aman; Rh. Ason, Ulu Balut Julau dan Rh. Jepun Rantau Panjai, Sungai Masit,” katanya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak