Cuba suap pegawai penguat kuasa, dua lelaki masing-masing didenda RM20,000

KUCHING: Dua orang lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda RM20,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas kesalahan memberi sejumlah wang suapan kepada pegawai penguat kuasa.

Tertuduh Baharudy, 37, Chuong, 68, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Menurut ringkasan kes SPRM, tertuduh pertama Baharudy Bohari didakwa memberikan suapan sebanyak RM12,000 kepada Pegawai Unit Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana menggupah pekerja warganegara Indonesia tanpa permit kerja yang sah, tinggal lebih masa, melindungi PATI dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh Baharudy Bohari (baju hitam kanan) dibawa keluar mahkamah.

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah bengkel milik isterinya di Daerah Bau, sekitar jam 10.15 malam, 13 Ogos lepas.

Manakala, tertuduh kedua Lau Yew Chuong didakwa menawarkan wang suapan berjumlah RM10,000 kepada Pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) ASP Norman Chendan sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang pekerja dan barang-barang miliknya yang disyaki tidak bercukai.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut semasa serbuan di sebuah rumah beralamatkan Lorong 12, Jalan Hup Kee di sini, sekitar jam 12.00 tengah hari, 25 November 2020.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPKPs Kamsiah Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Miller Jawoi manakala tertuduh pertama tidak diwakili peguam dan tertuduh kedua diwakili Peguam Francis Wee.

Setakat ini, tertuduh Lau Yew Chuong telah membayar denda yang dikenakan manakala Baharudy Bohari masih belum dikenal pasti sama ada membayar denda atau tidak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak