Curi telefon pintar RM365 didenda RM3,500

KUCHING: Gara-gara mencuri sebuah telefon pintar dan menjual dengan harga RM365, seorang pembantu jualan dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Tertuduh Mimi, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 23 April 2016 yang ketika itu bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai telefon di Song Plaza, Jalan Tun Jugah telah mencuri sebuah telefon pintar.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pengadu (pengurus kedai) melalui rakaman kamera litar tertutup mendapati tertuduh telah mengambil sebuah telefon pintar bernilai RM365 lalu menyimpan di dalam beg miliknya untuk dijual kepada orang lain.

Pengadu yang berjaya menangkap tertuduh meminta dia untuk membayar ganti rugi tetapi tidak mampu membayar dalam masa yang ditetapkan.

Oleh itu, pengadu telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Admei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak