Cuti umum Deepavali di Sarawak, boleh kemuka kepada Perdana Menteri

KUCHING: Permohonan bagi mendapatkan cuti umum perayaan Deepavali di Sarawak boleh dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaaku untuk perbincangan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, permohonan yang diajukan perlu dinilai melalui pelbagai aspek seperti bilangan cuti umum yang sudah sedia ada di negeri ini dan lain-lain.

“Saya boleh majukan permintaan untuk mendapatkan cuti khusus bagi perayaan Deepavali di Sarawak tetapi keputusan tersebut bergantung kepada pihak atasan untuk tentukannya,” jelasnya pada sidang media selepas Program Perpaduan Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Tambahnya, walaupun cuti khusus tidak diberikan, masyarakat yang menyambut perayaan tersebut di negeri ini adalah dibenarkan untuk memohon cuti untuk merayakannya seperti yang biasa dilakukan sekarang.

Suara Sarawak