Dibenarkan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass

KUCHING: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, beliau berkata pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

“Kebenaran ini juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menjelas lanjut, Ismail berkata keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

Namun, katanya kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin.

“Untuk itu, bagi mereka yang masih belum divaksin, segeralah berbuat demikian.

“Ini kerana banyak kelonggaran yang telah diumumkan seperti merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, makan dalam premis (dine-in) dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi,” katanya.

Sementara, Ismail berkata bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha ini.

Katanya antara langkah yang harus dilaksanakan ialah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS iaitu TEST – Melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara kendiri sekiranya alami simptom-simptom jangkitan.

Selain itu REPORT – Laporkan keputusan ujian pengesanan secepat mungkin di MySejahtera, ISOLATE – Lakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya didapati positif supaya tidak bahayakan orang sekeliling.

Manakala INFORM – Segera maklum kepada kontak rapat anda sekiranya didapati positif dan laporkan juga semua kontak rapat melalui pautan di dalam MySejahtera serta maklumkan juga kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin di rumah dan SEEK – Dapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya alami gejala berat.

Pada masa sama, Ismail mengingatkan semua pemilik premis kedai makan, kedai-kedai runcit, pusat beli-belah, fasiliti-fasiliti sukan termasuk gimnasium, pejabat dan lain-lain untuk memeriksa status vaksinasi dan juga status risiko Covid-19 pelanggan di dalam aplikasi MySejahtera mereka.

Katanya langkah ini penting bagi memastikan risiko berlakunya jangkitan di dalam premis adalah rendah.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak