Didenda RM5,000 jadi ejen judi dalam talian

KUCHING: Seorang remaja perempuan dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara sebulan kesalahan mengendalikan mesin judi dalam talian.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 19 tahun selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengendalikan mesin judi dalam talian menggunakan sebuah telefon pintar di sebuah kedai kopi di Jalan Batu Kawa-Matang, sekitar jam 5.50 petang, 3 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap mesin judi dan boleh dikenakan penjara Maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak