Dos ketiga di Sarawak bermula hari ini

KUCHING: Sarawak memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk rakyatnya hari ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Sarawak (Kesihatan Awam) Dr Rosemawati Arin dalam kenyataan hari ini berkata pemberian vaksin tersebut akan memberi perlindungan tambahan kepada golongan berisiko tinggi.

Jelasnya, pemberian dos ketiga bakal melibatkan golongan ‘immunocompromise’ atau mereka mempunyai sistem ketahanan badan lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan yang dianggarkan melibatkan 11,900 individu.

“Pemberian dos penggalak pula akan diberikan kepada warga emas berusia lebih 60 tahun melibatkan 80,300 individu dan petugas barisan hadapan perubatan sebanyak 30,340 individu,” katanya.

Beliau berkata pemberian dos ketiga dan dos penggalak itu boleh didapati di klinik-klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik swasta. “Bagi mereka yang layak, mereka boleh menghubungi klinik-klinik tersebut terlebih dahulu sekiranya ingin mendapatkan janji temu.

“Senarai nama klinik kesihatan kerajaan, klinik dan hospital swasta akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial untuk memudahkan proses janji temu,” katanya.

— BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak