Dua PUSPA baharu bernilai RM70 juta bakal dibina di Sarawak

KUCHING: Projek pembinaan dua buah pusat Pertahanan Awam (Puspa) bernilai RM70 Juta yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 akan bermula awal tahun hadapan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pembinaan fasa dua Puspa di Sarawak itu adalah bagi melengkapkan lagi frasarana latihan Angkatan Pertahanan Awam untuk keperluan jangka masa panjang.

“Ia merangkumi dewan serbaguna, blok asrama, bilik kuliah dan juga padang kawad.

“Selain itu, Puspa akan turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara yang mampu menampung sejumlah 2,000 mangsa yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata demikian dalam lawatan rasminya di Puspa di Petra Jaya hari ini.

Selain itu katanya, sejumlah RM380,000 peruntukan kewangan bagi pengoperasian APM di lapangan serta sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah serta pembelian segera semasa operasi telah disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Beliau selain itu menegaskan APM Sarawak secara keseluruhan bersedia menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022 dengan menyediakan seramai 1,210 pegawai dan anggota bersama 64 buah pelbagai jenis bot, 17 buah lori, 16 kenderaan pacuan empat roda, 13 buah ambulans dan empat unit dron.

Dalam perkembangan lain jelasnya, APM turut meningkatkan sistem kawalan menerusi penggunaan sistem pendigitalan TracaAPM dalam kerja-kerja pengoperasian di lapangan.

“TracAPM telah digunakan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk kemasukan individu dalam pengawasan (PUS) dengan melibatkan modul pengurusan pengangkutan dan modul stesen kuarantin.

“Sistem ini membantu petugas-petugas APM melaksanakan tugasan dengan lebih mudah dengan laporan boleh dihantar terus kepada pemegang taruh (stakeholder) tanpa perlu menunggu proses lama,” katanya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak