Dua rakan dikenakan tindakan lupus harta curi

KUCHING: Dua rakan masing-masing didenda RM7,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan melupuskan harta curi.

Tertuduh masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, mereka telah melupuskan empat unit telefon pintar dan seunit tablet milik Bong Kar Chun yang dipercayai dicuri darinya.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut ringkasan kes, pengadu menyedari kedainya telah dimasuki pencuri kerana mendapati barang-barang di kedai berselerak dan laci meja kaunter pembayaran serta pintu stor dalam keadaan terbuka.

Dia menyedari kedainya yang beralamat di City One Megamall dimasuki pencuri sekitar jam 1.15 petang, 12 Julai lepas menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM16,000.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.

Pada 4 Ogos lepas, tertuduh pertama berjaya ditangkap di sebuah pasar raya di Jalan Matang sekitar jam 11.50 pagi manakala tertuduh kedua ditangkap sekitar jam 3.30 petang.

Sehari selepas tangkapan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah membuat rampasan empat unit telefon pintar yang telah diserahkan kepada pembeli sekitar jam 12.30 petang.

Manakala, hari berikutnya kira-kira jam 2.15 petang sebuah tablet berjaya dirampas daripada pembeli di Pejabat D4 IPD Kuching.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh telah menjual empat buah telefon pintar dan sebuah tablet dengan harga RM4,200 kepada seorang pembeli.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak