Ekopelancongan Sri Aman, Batang Ai, Ulu Sungai Menyang dan Maludam berpotensi dibangunkan

LUBOK ANTU: Kluster ekopelancongan Sri Aman, Batang Ai, Ulu Sungai Menyang dan Maludam dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi dibangunkan secara holistik dengan pelbagai produk pelancongan menarik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu, menerusi Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030, segmen ekopelancongan menjadi salah satu fokus utama kementerian terutamanya dalam merancakkan pelancongan domestik selaras dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP) (2.0).

“Menerusi pelan ini, Motac telah mengenalpasti kluster ekopelancongan Sri Aman – Batang Ai – Ulu Sungai Menyang – Maludam di kawasan Parlimen Lubok Antu yang mempunyai pelbagai produk menarik.

“Antaranya Taman Negara Batang Ai, Wong Merah Lubok Antu, Lubok Kasai Nanga Sumpa, Air Terjun Ensulai dan Red Ape Trail yang berpotensi dibangunkan secara holistik dan memanfaatkan kesejahteraan komuniti setempat, sekaligus baik untuk penjanaan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berhubung pelan Motac untuk menaikkan semula industri pelancongan di Lubok Antu di Dewan Rakyat, hari ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak