Gibson jelmaan Jalil Ramli

KUCHING: Pakar lontaran jarak jauh, Gibson Billy sedia mempertaruhkan kudrat luar biasanya untuk mencipta kejutan seandainya diserap ke dalam skuad senior, Sarawak United FC (SU FC) bagi mengharungi kempen Liga Super musim depan.

Pemain dari skuad pelapis (SU FC II) itu antara salah seorang bintang muda berbakat yang diketengahkan oleh Pengurus Pasukan, Phillip Jabu sebelum ini.

“Tiada masalah bagi saya untuk menyumbang sesuatu sekiranya diserap ke dalam skuad senior musim depan,” ujar Gibson kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Gibson, keinginannya adalah untuk cuba berada dalam skuad senior dan diharap segalanya akan menjadi kenyataan.

Kelebihan luar biasa dimiliki anak jati kelahiran Kampung Lunying, Sebuyau itu mengimbau kembali legasi yang pernah dicetuskan legenda Ngap Sayot iaitu Abdul Jalil Ramli suatu ketika dahulu.

Pengerusi SU FC, Datuk Posa Majais sebelum ini menyatakan, pihaknya akan menyerapkan pemain muda dari skuad pelapis untuk pembentukan pasukan berwajah baharu.

Ia sebagai usaha mengimbangi keperluan di semua posisi dalam pasukan itu nanti.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak