GPS tidak akan berunding kerusi Dun dengan Bersatu – Alexander Nanta

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya akan membincangkan mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Krian bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), kata Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Bagaimanapun, katanya tiada rundingan akan dibuat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kerusi-kerusi Dun lain.

“Sememangnya GPS tidak akan memberi sebarang kerusi kepada mana-mana parti lain.

“Malah, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi Dun Sarawak pada PRN yang akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Alexander menafikan laporan bahawa GPS akan membuat rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu bagi menghadapi PRN-12, yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Saya ingin menegaskan, tiada rundingan sedemikian pernah atau akan diadakan,” katanya.

Menjelas lanjut, Ahli Parlimen Kapit itu berkata kenyataannya telah disalahtafsir oleh beberapa media GPS akan membuat rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu.

“Apa yang berlaku sebenarnya, pada sidang media yang diadakan pada 21 Oktober
2021 di Kuching baru-baru ini, saya telah ditanya mengenai kerusi Bersatu di Sarawak,
iaitu kerusi Dun Krian yang dipegang oleh
Datuk Ali Biju.

“Sebagai respon kepada soalan itu, saya hanya menyatakan bahawa kedudukan
kerusi Krian akan dibincangkan oleh GPS.

“Jawapan yang diberikan tidak merujuk kepada mana-mana kerusi Dun yang lain,” katanya.

Dun Krian disandang oleh Ali Biju, setelah mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN-11.

Bagaimanapun, Ali Biju kini sudah keluar dari PKR dan menyertai Bersatu, yang merupakan parti berpangkalan di Semenanjung namun mesra dengan GPS.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak