Harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 diumum bulan depan

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan satu paras harga baharu bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada bulan November nanti.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu akan diumumkan selepas beberapa faktor diperhalusi dan dimuktamadkan pada bulan hadapan.

“Antaranya KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 selain daripada di farmasi dan klinik.

“Ini kerana dijangka menjelang akhir Oktober ini, lebih banyak premis seperti pasar raya akan menjual kit ujian kendiri dan telah ada yang bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu memberitahu KPDNHEP sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit yang baharu bagi kit ujian tersebut.

Tambahnya, penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September lalu turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian kendiri tersebut.

“Justeru, saya berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian ini akan mengambil maklum dan memberikan kerjasama demi kebaikan semua pihak,” katanya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak