Harga tiket penerbangan ke Sarawak, Sabah dijangka kembali ke paras purata

KUCHING: Harga tiket penerbangan ke Sarawak dan Sabah yang tinggi dijangka kembali ke paras purata apabila kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, harga tiket yang tinggi pada masa ini antara lain disebabkan kesan pelaksanaan had kapasiti penerbangan susulan langkah membendung penularan Covid-19.

“Pelaksanaan had kapasiti itu adalah usaha Kerajaan Sarawak menangani penularan wabak Covid-19 yang ketika itu kekerapan penerbangan ke Sarawak berkurangan sebanyak 94 peratus berbanding ketika tempoh sebelum wabak Covid-19.

“Bagi penerbangan di antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan berkurangan sebanyak 89 peratus berbanding tempoh sebelum Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta kerajaan menyatakan langkah untuk mengurangkan harga tiket penerbangan dari Sarawak dan Sabah yang sangat mahal ketika pandemik Covid-19.

Henry berkata, MAVCOM mendapati penerbangan di antara Kuala Lumpur-Kuching selepas 8 Oktober merekodkan harga tiket lebih rendah iaitu di antara 29 sehingga 74 peratus berbanding harga tiket pada tahun 2019.

Katanya laluan lain seperti Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur-Sibu masih lagi merekodkan harga yang tinggi iaitu di antara RM530 hingga RM1,600 untuk sehala.

“Bagi laluan Semenanjung ke Sabah pula, berdasarkan pemantauan MAVCOM mendapati harga tiket yang lebih tinggi di antara lapan hingga 163 peratus direkodkan berbanding harga tiket pada tahun 2019,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak