Hospital Medan ATM Sibu beroperasi 15 Oktober ini

SIBU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewujudkan sebuah hospital medan di sini bagi meringankan beban tugas kakitangan Hospital Sibu.

Briged Kesembilan Infantri Malaysia berkata, Hospital Medan Sibu tersebut dijangka siap pada 15 Oktober dan atur gerak awal akan bermula pada 7 Oktober nanti.

“Kerja-kerja pembersihan dan persiapan penubuhan Hospital Medan Sibu ini telah diatur gerak dan diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli selaku Ketua Tim Persiapan Hospital Medan Sibu serta 10 orang anggota dari Rejimen 510 Askar Wataniah,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pembinaan hospital ini mempunyai empat fasa iaitu fasa pertama penubuhan Holding Bay Area di parkir Zon 5 serta kerja-kerja pemasangan lima buah khemah
jenis TM36 dan Holding Bay ini akan diselia sepenuhnya oleh kakitangan Hospital Sibu.

Katanya, fasa kedua ialah menyusun atur kedudukan khemah dan penempatan 100 buah katil yang dikoordinasikan oleh pihak Hospital Sibu.

“Fasa ketiga ialah pembukaan Hospital Medan Sibu dijangka akan beroperasi secara rasmi pada 15 Oktober dan akan diaturgerak sepenuhnya oleh staf perubatan dari 1 Batalion Ubat.

“Bagi fasa keempat pula ialah penarikan Hospital Medan Sibu yang akan dilaksanakan setelah kes semakin berkurangan dan sehingga Hospital Sibu mampu untuk mengendalikan pesakit seperti sediakala,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, persiapan ini bersesuaian dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 dalam tonggak kelima iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat dengan Awam.

Hospital Medan ATM Sibu akan beroperasi pada 15 Oktober ini yang boleh menempatkan 100 katil dalam satu masa.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak