Impian miliki rumah sendiri

KELOMPOK pembeli rumah dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) pastinya gembira dengan Belanjawan Sarawak 2022 khususnya melalui inisiatif perumahan mampu milik.

Ironinya, selepas Belanjawan Sarawak 2022 dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terus ada suara-suara mengaitkannya dengan gula-gula politik.

Manakan tidak, sekali lagi Kerajaan Sarawak yang diteraju oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkenal bajet yang cukup besar, RM10.646 bilion.

Namun, jika kita masih ingat sejak beberapa tahun kebelakangan Belanjawan Sarawak lazimnya sekitar itu, bahkan ada lebih banyak. Belanjawan Sarawak 2019 sebanyak RM11.91 bilion, kemudian RM9.891 bilion pada 2020 dan tahun ini berjumlah RM9.832 bilion…ini bermakna tahun hadapan lebih banyak.

Apa yang hendak dihairankan?

Kerana, inilah buktinya sebuah kerajaan yang cekap dalam mengurus dengan mengutamakan rakyat, ada masalah?

Apa yang penting pembangunan Sarawak terus berjalan, untuk menuju ke arah negeri maju menjelang 2030.

Satu inisiatif yang sangat dekat dengan rakyat dan pastinya disambut baik ialah perumahan mampu milik.

Dewasa ini, harga kediaman di pasaran cukup ‘mencengkam’. Bagi golongan B40, mahupun M40 sukar untuk berangan-angan membeli rumah… lebih-lebih lagi impak pandemik.

Tetapi di bawah kerajaan pimpinan Abang Johari, bermula tahun hadapan ada skim bantuan baharu untuk golongan B40 dan M40.

Jika ada yang mencongak untuk memiliki kediaman sendiri, bolehlah dirisik-risik Skim Bantuan Deposit Perumahan.

Melalui skim ini, Kerajaan Sarawak akan memberikan bantuan tunai sehingga RM10,000 kepada pembeli rumah B40 dan M40 untuk membayar deposit perumahan dan akan diuruskan oleh Mutiara Mortgage and Credit Sdn. Bhd. (MUTIARA). Bantuan ini tertakhluk kepada projek perumahan mampu milik yang dipersetujui oleh Kerajaan Sarawak.

Justeru, sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan dalam bajet negeri tahun hadapan yang akan memberi manfaat kepada sekitar 1,200 pembeli rumah.

Sementara itu bagi meningkatkan usaha untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat, menangani masalah pembiayaan akhir dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan tekanan kos di pasaran perumahan, sebanyak RM417 juta disediakan.

Di bawah inisiatif pertama untuk pembinaan perumahan mampu milik, kerajaan akan memperluaskan skim penempatan semula kampung, dan projek pembaharuan bandar di seluruh Sarawak dengan peruntukan RM189 juta.

Melalui inisiatif kedua, Program Pembaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) disediakan dana RM80 juta, sementara untuk Program Baik Pulih Rumah Panjang akan diperuntukkan RM50 juta. Fokus utamanya untuk membina semula dan memperbaiki rumah panjang yang usang.

Inisiatif ketiga ialah Skim Bantuan Sewa Sarawak yang memberikan bantuan sewaan RM200 sebulan sehingga 36 bulan atau tiga tahun.

Secara keseluruhan sebanyak RM48 juta akan disediakan.

Kerajaan Sarawak juga di bawah inisiatif keempat akan menyediakan bantuan pinjaman kepada pembeli rumah kumpulan (B40) dan (M40) melalui MUTIARA, yang melibatkan bajet RM50 juta.

Terlalu banyak usaha yang diambil oleh Kerajaan GPS untuk meringankan beban rakyat.

Sesungguhnya, mereka tidak pernah beralasan mengatakan tiada duit, bahkan sebaik mungkin mencari pendapatan lain.

Apa yang menarik dan harus diketahui umum ialah pendapatan Sarawak bagi tahun 2022 diunjurkan mencapai RM10.036 bilion.

Antara hasil negeri yang patut dibanggakan kerana melaluinya, usaha untuk memajukan bumi tercinta ini akan berjalan lancar.

Sesungguhnya Kerajaan Sarawak telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri. Percayalah, menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang semakin hampir, bezakanlah sebaik-sebaiknya antara intan dan kaca.

Seperti yang disebut oleh Abang Johari, Belanjawan Sarawak 2022 yang bertemakan Bersatu Dalam Membangun Masyarakat Berdaya Tahan, Inklusif dan Progresif cukup sinonim dengan hasrat semua.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak