Jalan Telok Melano-Sematan nadi pembangunan selatan Sarawak

TELOK MELANO: Has Mohamed, 32, tidak akan dapat melupakan pengalaman pahit ketika perahu yang dinaikinya karam di Laut China Selatan, semasa dalam perjalanan menuju pekan Sematan dari perkampungannya di Telok Melano lebih 10 tahun lalu.

Perjalanan menggunakan perahu dan merentasi laut yang kadangkala tidak menunjukkan rasa belas kasihan itu, memang tidak dapat dielakkan memandangkan itulah sahaja cara ketika itu untuk bergerak antara Telok Melano dan Sematan, dua kawasan yang terletak di selatan Sarawak.

“Kalau (perahu) karam itu memang lumrah kehidupanlah ketika itu dan saya sendiri telah tiga kali karam, tetapi Alhamdulillah, umur saya masih panjang,” katanya sewaktu berkongsi pengalamannya kepada Bernama baru-baru ini.

Namun keadaan itu telah berubah sejak lebih dua tahun lepas, apabila projek jalan raya menghubungkan Telok Melano dan Sematan, yang merupakan sebahagian dari jajaran Lebuhraya Pan Borneo siap dibina, bagi mengakhiri igauan ngeri merentasi laut yang dihadapinya sebelum ini.

“Dari situ (dengan siapnya Jalan Telok Melano-Sematan), kami di sini sudah mula merasai satu harapan untuk melihat pembaharuan di kawasan ini menerusi pembangunan infrastruktur jalan raya ini,” katanya.

Projek Jalan Raya Telok Melano-Sematan diilhamkan oleh Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang mahukan Telok Melano, penempatan paling hujung di barat daya Sarawak yang terletak kira-kira 140 kilometer (km) dari Kuching, dihubungkan dengan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Laluannya sepanjang 32.77km itu mula dibina pada 15 Sept 2015 dengan kos RM580 juta dan siap sepenuhnya pada 4 Jan 2018, dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak sekarang Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 26 Jan 2019.

“Pembukaan jajaran ini melalui Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sampai ke Lawas, akan menjadi satu manfaat apabila kita bersatu, mempunyai satu haluan dan semangat untuk membantu rakyat,” kata Abang Johari ketika merasmikan jalan raya berkenaan.

Sejak dari itulah, Telok Melano tidak lagi terasing daripada nadi perhubungan jalan raya di Sarawak dan sebagai antara mereka yang menikmati pembangunan baharu hasil projek ini, Has sesungguhnya menghargai usaha yang dilakukan kerajaan untuk memudahkan kehidupannya dan memulakan inisiatif ekonomi baru.

“Bila adanya jalan raya, pelancong ataupun orang yang datang ke Telok Melano memang sangat luar biasa ramainya. Dari situ penduduk mengambil kesempatan membuka inap desa dan gerai-gerai kecil di tepi pantai,” tambahnya.

Has yang turut mengusahakan sebuah inap desa Lentera Homestay, berkata susulan pembukaan jalan raya itu, permintaan terhadap rumah inap desa juga sangat tinggi dan pengusaha juga tidak menang tangan untuk melayan permintaan pelanggan.

Biarpun sedikit terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak tahun lepas, beliau berkata permintaan terhadap homestaynya kini sangat luar biasa setelah rentas daerah dan negeri serta industri pelancongan dibenarkan.

Selain Has, seorang lagi usahawan muda di Telok Melano, Mohamed Aluis Hamri, 37, turut sama memanfaatkan pembangunan jalan raya ini untuk memulakan tarikan baru pelancongan di kawasan itu.

Mohamed Aluis telah memulakan projek rumah terbalik Niranur Upside Down 3R House, yang diperbuat daripada puluhan ribu botol minuman terpakai yang dikumpul sejak 2015.

Bertemakan ‘Raikan dan Abadikan Cinta’, rumah tersebut turut dihiasai dengan pelbagai koleksi barang-barang lama berkonsepkan 80-an dan 90-an, serta mempunyai sejarah tersendiri dan mula dibuka kepada umum awal tahun lepas.

“Rumah ini dibuka kepada pengunjung bermula 8 pagi dan menerima purata 300 orang sehari. Jumlah pengunjung akan bertambah dua kali ganda ketika hujung minggu atau cuti umum,” katanya.

Selain menjadi tarikan orang ramai berkunjung ke Sematan, beliau berkata inisiatifnya itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengunjung untuk menjaga alam sekitar dan mengitar semula bahan buangan, untuk kebaikan bersama.

Usahanya tidak terhenti di situ sahaja apabila beliau turut mengusahakan penternakan lebah kelulut di bawah jenama ‘Niranur’ yang turut dipasarkannya di peringkat tempatan dan luar negeri, menerusi kemudahan pemasaran dalam talian.

Inisiatif yang dibuat oleh usahawan-usahawan muda seperti Has dan Mohamed Aluis ini, menjadi bukti kesan domino hasil daripada kejayaan pelaksanaan projek jalan raya Telok Melano-Sematan dalam mengubah taraf hidup rakyat di penghujung negeri Sarawak. — BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak