Judi haram 4 lelaki masing-masing didenda RM700

KUCHING: Empat lelaki berusia 36 hingga 55 tahun masing-masing dijatuhi hukuman denda RM700 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan melakukan aktiviti perjudian di tempat awam, Julai lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Tay Hong Siong, 46, Chan Choon Eng, 55, Siew Yien Nam, 50, dan Lo Khee Hui, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan perbuatan tersebut di Lot Chawan di sini, kira-kira 2.50 petang, 3 Julai lalu.

Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 7 (1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Menurut fakta kes, 3 Julai lepas sekitar jam 2.50 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching telah membuat serbuan di sebuah pondok di Lot Chawan.

Hasil serbuan, sekumpulan lelaki sedang berkumpul dipercayai sedang bermain judi jenis holo.

Kesemua mereka berlarian bertempiaran apabila menyedari kehadiran pihak polis, sebahagian daripada mereka berjaya ditangkap.

Hasil siasatan mendapati kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh diwakili seorang peguam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak