Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut

KUCHING: Jumlah kes baharu COVID-19 di Sarawak terus kekal di bawah empat angka untuk tiga hari berturut-turut apabila 749 kes dilaporkan semalam.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan semalam, daripada keseluruhan jumlah kes itu, hanya 13 kes melibatkan pesakit yang mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan 13 kematian baharu akibat jangkitan wabak itu direkodkan antara 9 dan 18 Okt lepas melibatkan individu berumur antara 45 dan 91 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain.

Sementara itu, JPBN turut melaporkan lima lokaliti melibatkan rumah panjang di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), masing- masing dua di Julau dan Sri Aman serta satu di Pakan.

Lokaliti itu melibatkan Rumah Unan di daerah Julau yang dikenakan PKPD dari 18 hingga 27 Okt; Rumah Wong (Julau), Rumah Nurie (Pakan), Rumah Achun serta Rumah Abdul Rahman di Sri Aman, masing-masing di bawah PKPD mulai 19 hingga 28 Okt.

Dua kluster diisytiharkan tamat semalam melibatkan Kluster Kampung Batu Kitang Jaya dan Kampung Dangak di Kuching setelah 28 hari tiada kes baharu direkodkan membabitkan kluster tersebut. – BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak