Jurujual hilang RM54,800 ditipu pelaburan dalam talian

SIBU: Seorang jurujual mengalami kerugian sebanyak RM54,800 apabila menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Superintendan Maria Rasid berkata ia selepas lelaki berusia lewat 40-an itu, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Sibu tertarik dengan pelaburan yang ditawarkan oleh laman HAPPYBUY di Facebook.

Katanya mangsa telah meninggalkan pesanan mesej kepada laman berkenaan, sebelum dia menerima mesej melalui Whatsapp menggunakan nombor 011-28485246 yang memperkenalkan diri sebagai Jason pada 26 Ogos lalu, yang kemudian menawarkan mangsa untuk melabur dalam aplikasi HAPPYBUY.

“Mangsa kemudian menerima pautan htttp://app.shopnew5.me/hhbm daripada suspek dan apabila menekan pautan itu, dia mendapati ia seperti akaun Shopee dan mangsa memuat turun aplikasi berkenaan.

“Mangsa telah dijanjikan pulangan sebanyak 10 peratus keuntungan daripada jumlah wang dilaburkan.

“Mangsa telah membuat 26 transaksi pemindahan wang berjumlah RM54,800 ke tiga akaun bank atas nama syarikat yang berbeza antara 28 Ogos sehingga 1 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maria berkata mangsa merasakan diri ditipu apabila tidak mendapat apa-apa hasil daripada pelaburan yang dibuat.

Katanya mangsa juga tidak dapat mengeluarkan wang hasil keuntungan pelaburan yang dibuat dan hanya mampu melihat aliran wang keluar masuk ke dalam akaun HAPPYBUY dia sahaja.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan peluang pelaburan yang ditawarkan di platform media sosial.

Maria berkata orang ramai boleh merujuk kepada senarai peringatan pelabur sebelum membuat sesuatu pelaburan melalui laman sesawang https://www.sc.com.my/investoralert.

Beliau menambah orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Center melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau Jabatan Siasaran Jenayah Komersial di talian 013-211 1222 (Whatsapp/ SMS) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan makluat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak