Kaut keuntungan hasil perladangan hutan

KUCHING: Sarawak mengalu-alukan kerjasama antarabangsa untuk membina kapasiti penyelidikan di negeri ini bagi menyumbang kepada pertumbuhan perladangan hutan yang bernilai tinggi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti yang tinggi serta membawa keuntungan.

“Selain itu, ia menjadi agenda utama kerajaan bagi mengkaji spesies alternatif, perosak dan penyakit serta jangka masa kitaran berlainan kayu serta produk balak dan juga memulihkan kualiti tanah.

“Maka, kita amat memerlukan tahap kepakaran yang tinggi dalam R&D kerana ia penting dalam menyokong agenda pembangunan perladangan hutan di Sarawak,” katanya. Abang Johari berkata demikian ketika merasmikan Webinar Akasia Kesatuan Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (IUFRO) Ke-3 2021 di sini, pada Selasa.

Beliau turut menyifatkan penganjuran program tersebut sebagai platform penting untuk perkongsian maklumat supaya dapat menghasilkan banyak kerjasama pada masa akan datang terutama bagi mereka yang terlibat dalam industri perladangan hutan.

“Kita di Malaysia, khususnya Sarawak masih agak ketinggalan berbanding negara Asia lain dalam pembangunan perladangan hutan. “Oleh itu, R&D merupakan salah satu inisiatif utama untuk menangani jurang yang kita hadapi, seperti ketiadaan bahan penanaman berkualiti tinggi, kejadian perosak dan penyakit serta spesies yang sesuai untuk ditanam,” ujarnya.

Menurutnya, perkara tersebut perlu ditangani secara holistik bagi memastikan kejayaan inisiatif itu dapat mencapai objektif utama. “Seperti kita tahu, R&D memakan masa agak lama berdasarkan bukti direkodkan yang ditubuhkan oleh banyak komuniti antarabangsa seperti di Brazil, China, Vietnam dan banyak lagi dalam penyelidikan perladangan hutan.

“Justeru, Sarawak memerlukan beberapa dekad untuk mendapatkan hasil yang terbukti dalam penanaman pokok memandangkan jenis tanah di negeri ini berbeza-beza di seluruh wilayah.

“Selain spesies sedia ada, keutamaan diberikan kepada pemilihan spesies eksotik kerana terdapat kekurangan pengetahuan yang mencukupi dalam pembiakan dan pengurusan silvikultur spesies asli, bekalan benih yang lebih tinggi serta banya lagi,” katanya lagi.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak juga mempunyai keinginan tinggi untuk memulakan pemprosesan kayu hiliran peringkat tertiari ke arah berorientasikan eksport, terutamanya dalam pembuatan perabot berskala besar dan nilai tinggi.

“Balak hasil hutan yang ditanam akan menjadi pengganti muktamad bahan mentah masa depan dalam industri pemprosesan kayu. “Oleh itu, kita menggesa sektor pembuatan produk kayu berubah dan melabur semula untuk menyesuaikan peralatan dan teknik pemprosesan kepada kualiti dan spesies balak yang baharu,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa penyelidikan dijalankan bagi mencari menambah baik pengurusan selain menambah nilai semula jadi yang akan memanfaatkan persekitaran alam sekitar.

Suara Sarawak