Kawasan pencarian lima pemancing dikhuatiri lemas diperluas – Maritim Sarawak

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot bersama lima pemancing yang dilaporkan tidak pulang selepas menuju ke kawasan perairan Karang Berumput dan Tukun Bass dari Santubong sejak 1 Okt lepas diperluas hingga 526.74 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata operasi yang memasuki hari kelima itu tertumpu di sekitar perairan Tanjung Datu, 15 batu nautika dari pesisir pantai dan ke atas.

“Setakat 10.30 pagi ini, pasukan SAR masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu, petunjuk yang ada buat masa ini adalah penemuan boya berwarna oren yang dijumpai pada hari pertama SAR 3 Okt lepas,” katanya dalam satu sidang media mengenai operasi SAR tersebut di sini semalam.

Lima mangsa yang hilang itu ialah Khamizan Saidi, 40; Ng Ching Hui, 36; Christopher Teo, 32; Yap Tze Kang, 41; dan Leo Dy Lee Jiann Tarn, 35. Sementara itu, Zin Azman menasihatkan komuniti maritim agar membatalkan niat mereka ke laut buat masa ini sekiranya cuaca tidak baik.

“Keadaan di laut pada masa ini kurang baik terutamanya keadaan Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini hingga Mac tahun hadapan,” katanya. — BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak