KBS terima peruntukan RM5 juta untuk naik taraf infrastruktur

SANTUBONG: Kampung Budaya Sarawak (KBS) menerima peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan ini adalah sebahagian daripada RM20 juta yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2021 Pemberian Kemudahan Projek Khas, Projek-Projek di bawah peruntukan Kampung Budaya.

“Ia bertujuan bagi membaik pulih serta menaik taraf kemudahan produk pelancongan berciri kampung budaya di empat buah negeri iaitu Sarawak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka.

“Bagi SCV, ia dikhaskan untuk menaik taraf infrastruktur termasuk atap-atap rumah etnik dan seterusnya memantapkan kedudukannya sebagai salah satu tarikan pelancongan budaya utama di negeri ini.

“Selain meningkatkan lagi keselamatan, imej dan keselesaan kepada para pengunjungnya,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja dan pelancaran Projek Pembaikpulihan Atap Struktur Kampung Budaya Sarawak di sini Teater Budaya KBS di sini, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, pihaknya adalah agensi pelaksana bagi menaik taraf KBS dengan kerja-kerja fizikal akan bermula pada November ini dan dijangka siap pada Jun 2022.

“Dengan siapnya projek ini kelak, kami yakin ia akan menambah baik kualiti kemudahan yang sedia ada di SCV,” katanya dalam ucapan secara maya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KBS kini dibuka semula kepada pelawat bermula 1 Oktober lalu dan menawarkan harga promosi kemasukan pada kadar RM20 bagi seorang dewasa rakyat Sarawak.

Manakala pelawat bukan rakyat Sarawak dikenakan bayaran pada kadar RM60 seorang dewasa dan promosi tersebut sah sehingga hujung Disember ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak