Kebajikan pesara, bekas polis dijaga Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP)

KUCHING: Kebajikan pesara polis dan bekas polis dijaga baik dengan bantuan kewangan melalui Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ramai antara mereka tidak mengetahui akan tabung amanah tersebut yang boleh memohon lima kategori bantuan.

Katanya, bantuan TAWP meliputi bantuan RM 1,500 untuk khairat kematian, bantuan pergerakan, RM5,000 untuk bantuan perubatan, RM3,000 bantuan pendidikan dan RM10,000 untuk bantuan bencana alam.

“Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membantu seramai 1,635 pesara polis seluruh negara dan memperuntukkan sebanyak RM3.25 juta bantuan kewangan.

“Bagi Polis Kontinjen Sarawak, terdapat 45 permohonan yang telah diluluskan yang membabitkan perbelanjaan hanya RM97,000.

“Ini bermakna ada pesara-pesara polis Sarawak mungkin tidak tahu kewujudan tabung ini, tidak tahu maka tidak memohon atau tidak tahu bagaimana cara memohon bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan bakul makanan kepada asnaf dan pesara polis di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini

Justeru, beliau berharap mereka yang menerima bantuan pada hari ini boleh menjadi agen untuk memaklumkan kepada pesara-pesara lain tentang tabung berkenaan.

Seramai 20 warga PDRM, 17 pesara polis serta anak yatim anggota polis menerima sumbangan pada majlis tersebut.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak