Kejohanan Bina Badan Dunia Ke-12: Malvern dan Buda raih pingat perak

KUCHING: Dua jaguh bina badan negara kelahiran Sarawak, Buda Ancah dan Dr Malvern Abdullah berprestasi cemerlang apabila meraih pingat perak dalam kategori masing-masing di Kejohanan Bina Badan Dunia Ke-12 2021 yang akan berlangsung di Taskent, Uzbekistan.

Penampilan pemegang gelaran dunia tiga, Buda antara yang mencuri tumpuan apabila muncul pemenang tempat kedua untuk membawa balik pingat perak dalam dua kategori kegemarannya iaitu 70 kilogram dan 80 kilogram (40-49 Tahun).

Berbanding Malvern yang memperolehi pingat peraknya menerusi kategori 60 kilogram.

Sementara itu, penampilannya dalam satu lagi kategori 80 kilogram (40-49 Tahun) sekadar berpuas hati ditempat kelima.

“Gembira dan berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi, walaupun gagal untuk cuba menghadiahkan pingat emas buat negara dan negeri Sarawak,” ujar Buda kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Buda, beliau sudah memberikan yang terbaik sepanjang saingan.

“Saya akan turun ke gelanggang sekali lagi pagi esok (Rabu) untuk berentap dalam kategori campuran berpasangan terbuka (mixed pair open) bergandingan dengan Melaura,” tegas Buda lagi.

Dr Malvern Abdullah menerima dengan terbuka keputusan bagi kedua-dua kategori disertainya.

“Saya tetap berbangga dengan pencapaian kali ini kerana telah memberikan yang terbaik sepanjang saingan,” katanya.

Kejohanan tersebut bermula 1 Oktober lalu dan akan melabuhkan tirainya Khamis nanti (7 Oktober).

Suara Sarawak