Kerajaan ganti tanah rakyat untuk pembangunan

KUCHING: Kerajaan mengambil balik tanah penduduk bertujuan untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur dan utiliti bagi menyediakan prasarana sempurna untuk rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha itu demi memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar demi kepentingan negeri, kemudahan serta kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan tidak mengambil tanah secara percuma, sebaliknya ia berdasarkan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, semua tanah yang diambil akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dengan kadar pampasan dibayar serta dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman, struktur binaan dan saiz tanah mengikut nilai semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Takungan Air Aras Tinggi Matang dan Pemasangan Paip Bahagian Kuching, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penyerahan cek pampasan tanah tersebut, Awang Tengah juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II memberitahu sebanyak 32 cek diserahkan kepada 24 penerima dengan kos keseluruhan RM24.6 juta.

“Projek ini melibatkan pembinaan dan penyiapan takungan air (aras sederhana), takungan air (aras tinggi), naik taraf stesen pam penggalak di Loji Rawatan Air Matang dan Batu Kitang, sistem perpaipan serta kerja-kerja berkaitan.

“Ia telah dirancang dengan teliti bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di sini khususnya di Santubong, Buntal, Bandar Baru Semariang, Petra Jaya, Kampung Rampangi, Pasir Pandak, Demak Laut, Kampung Bako, Muara Tebas dan Pelabuhan Senari,” jelasnya.

Tambahnya, projek tersebut juga dijangka akan melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan memberi jaminan kualiti hidup yang lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak