Kerjasama universiti diperlukan untuk pembangunan perladangan hutan di Sarawak

KUCHING: Universiti dan institut latihan perlu bekerjasama rapat dengan sektor perladangan hutan di negeri ini untuk membangunkan program atau kursus yang dapat menyediakan pekerja mahir.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pembangunan modal insan tersebut boleh dipertingkatkan melalui pelbagai projek kerjasama dengan i institusi pengajian tinggi, sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Program-program yang dibangunkan tersebut boleh memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan mengenai potensi dan amalan terbaik spesies, pengurusan, silvikultur dan penuaian serta reka bentuk produk yang boleh dihasilkan daripada spesies yang ditanam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Webinar Akasia Kesatuan Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (IUFRO) Ke-3 2021 di sini, hari ini

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengalu-alukan kerjasama antarabangsa untuk membina kapasiti penyelidikan di negeri ini bagi menyumbang kepada pertumbuhan perladangan hutan yang bernilai tinggi.

“Ia bagi merapatkan jurang pembangunan perladangan hutan di Sarawak. Selain itu, masa hadapan bukan fokus kepada keuntungan sahaja, tetapi bergantung pencapaian produktiviti perladangan hutan yang memerlukan pekerja mahir, terlatih serta bermotivasi dalam menjayakan usaha tersebut,” ujarnya lagi.

Sebanyak 26 kertas lisan dan 14 poster akan dibentangkan dalam persidangan tiga hari secara maya melalui Webinar tersebut.

Ia menghimpunkan seramai 12 penceramah jemputan dari Australia, Vietnam, Indonesia, Amerika Syarikat, New Zealand dan Malaysia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak