Komited ringankan beban pesakit buat pinggang

KUCHING: Dua buah mesin hemodialisis bernilai RM83,000 disumbangkan kepada Pusat Jantung Sarawak sebagai inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP), pada Khamis.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan mesin tersebut adalah untuk menambah mesin sedia ada.

“Saya berharap bantuan ini dapat menambah bilangan mesin sedia ada berikutan pertambahan bilangan pesakit yang menjalani rawatan di Pusat Jantung Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis inisiatif BPBP yang disampaikan kepada Pengarah Pusat Jantung Sarawak, Dr. Mohd Asri Riffin. Ujar Fatimah, harga sebuah mesin hemodialisis ialah RM41,500 dan jumlah keseluruhan bagi dua buah mesin yang disumbangkan kepada Pusat Jantung Sarawak adalah RM83,000.

Pada tahun ini sahaja, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah membeli enam buah mesin hemodialisis secara tender dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM249,000.

“Sebuah mesin bernilai RM41,500 dan keseluruhan perbelanjaan pembelian enam buah mesin adalah sebanyak RM249,000,” ujarnya. Jelasnya, lokasi penempatan bagi enam buah mesin hemodialisis ini meliputi dua buah mesin di Pusat Jantung Sarawak.

Selain itu, sebuah mesin masing-masing di Hospital Dalat, Mukah; Hospital Saratok, Betong; Hospital Sarikei, Sarikei dan Hospital Marudi, Miri. Setakat ini, Pusat Jantung Samarahan mempunyai 20 mesin dan dalam masa sehari mampu menampung sebanyak 45 orang pesakit.

“Tambahan dua mesin ini  akan menampung 12 orang sehari dan penempatan mesin hemodialisis di hospital tersebut adalah mengambil kira keperluan penggunaan mesin oleh beberapa sebab,” jelasnya.

Ia adalah kerana pertambahan bilangan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan, penggantian mesin hemodialisis yang lama dan usang serta kapasiti penggunaan mesin yang tinggi.

Sebagai makluman, BPBP merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban pesakit buah pinggang di Sarawak yang memerlukan rawatan penyakit buah pinggang.

Bantuan ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mulai tahun 2020 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4,673,917. “Pada tahun ini, jumlah peruntukan BPBP di Sarawak adalah sebanyak RM 6,023,917 dan tahun 2022 sebanyak RM3.2 juta,” tambahnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak