KPM komited selesai isu hak milik tanah sekolah daif di Sarawak

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam usaha memastikan pembinaan bangunan sekolah daif dapat dilaksanakan dengan cepat termasuk menjalankan pemutihan hak milik tanah.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, isu tanah tersebut adalah salah satu daripada punca yang telah dikenal pasti selepas pihaknya memantau punca kelewatan pembinaan bangunan sekolah daif.

“Sebab itu, dalam perjumpaan dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) semalam, kami berbincang bagaimana kita dapat memastikan semua tanah yang menjadi tapak sekolah di Sarawak dan seluruh nagara ini diputihkan.

“Sejak saya masuk di kementerian (KPM), isu ini yang kita ingin selesaikan kerana kalau tanah itu bukan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) maka bangunan tidak boleh dibina di atas tanah tersebut.

“Jadi, ia akan melewatkan proses pembinaan bangunan sekolah daif… jika isu ini selesai prosesnya akan lebih cepat dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media delepas melawat SMK Bandar Samariang, di sini, hari ini.

Suara Sarawak