KSL 2021 ZON KUCHING: Sanjung Etika menang mudah peringkat kumpulan

KUCHING: Regu Sanjung Etika yang turut dibarisi tiga bekas pemain Sarawak nyata memberi kelebihan buat pasukan apabila mencatat dua kemenangan selesa dalam saingan Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 Zon Kuching.

Barisan pemain-pemain terdiri daripada Ismail Roslan (tekong), Mohd Rafey Danial Jamil Ambia (apit kanan), Mohd Razis Saleh (apit kiri) selain dua pemain simpanan iaitu Abdul Razak Rosli dan Ahmad Sairi Awang.

Regu diterajui jurulatih berpengalaman Kamaludin Akil berjaya mencatat dua kemenangan mudah (2-0) ketika menentang Atiega B pada aksi pertama (16 Oktober) dan menentang Sri Keranji semalam.

Menurut penolong jurulatihnya Sharkawi Taibi, beliau secara peribadi amat berpuas hati terhadap prestasi dipamerkan pemain pada setiap perlawanan yang telah dilalui.

“Fokus kami mahu memastikan kemenangan pada setiap perlawanan dilalui.

“Setakat ini segalanya berjalan lancar apabila pemain berjaya merealisasikannya dengan mencatat kemenangan 2-0 bagi kedua-dua perlawanan dalam peringkat kumpulan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Justeru beliau dalam pada itu berharap agar momentum terbaik pemain dapat dikekalkan sehingga ke tamat perlawanan biarpun dikira sudah layak untuk ke peringkat seterusnya.

Kemenangan (2-0) pada kedua-dua perlawanan pada peringkat kumpulan menyaksikan Sanjung Etika kini kekal menerajui tangga teratas Kumpulan D.

Manakala Perlawanan terakhir Sanjung Etika pada peringkat kumpulan akan menyaksikan regu tersebut turun menentang Mypham 25 pada 6 November nanti.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak