Kuching dicadangkan jadi ibu negara Malaysia kedua

KUCHING: Bandar raya Kuching dicadangkan untuk diangkat menjadi ibu negara Malaysia yang kedua pada masa hadapan, jika bersesuaian, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

Menurutnya, ia berikutan kedudukan Borneo itu sendiri yang akan menjadi tumpuan bagi rantau ASEAN apabila ibu kota baharu Indonesia siap sepenuhnya dalam beberapa tahun yang akan datang.

“Ini kerana lokasi ibu kota baharu yang terletak di kawasan antara Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara serta dinaungi dua kota iaitu Balikpapan dan Samarinda dilaporkan telah diperuntukkan sebanyak USD$32 bilion oleh Kerajaan Indonesia dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau telah menyentuh tentang pemindahan ibu kota baharu Indonesia ke Kalimantan Timur yang akan membawa bersama perkembangan positif kepada Malaysia terutama di Sarawak dan Sabah ketika membahaskan usul RMK-12 di Dewan Negara pada Isnin.

Jelasnya, pembangunan itu nanti sudah tentu akan merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kerana akan lebih ramai rakyat saling berkunjungan antara satu sama lain ke wilayah Kalimantan sekali gus akan membawa tempias kemakmuran ke Sarawak dan Sabah.

“Oleh itu, dengan mengambil kira kedudukan geografi kedua-dua negeri ini, pembangunan ibu kota Indonesia baharu itu nanti bakal menjadi pemangkin pembangunan bagi kedua-dua negara.

“Selain dilihat sebagai satu langkah positif kerana mampu membawa banyak kebaikan dan kemakmuran secara bersama,” jelasnya.

Beliau turut menggesa agar peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak dan Sabah dipertingkatkan terutama bagi pembangunan infrastruktur asas, perhubungan pendigitalan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi malah termasuk pembangunan modal insan dan pendidikan.

“Oleh itu saya sangat berharap agar Perdana Menteri dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan untuk diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

“Ini penting kerana pemindahan ibu kota Indonesia itu akan turut melimpahkan kemakmuran ke Sarawak dan Sabah yang perlu dikongsi bersama kepada semua rakyat.

“Pembangunan seimbang perlu dilaksanakan apatah lagi dijangkakan pada tahun 2050, Indonesia akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia selepas China, Amerika Syarikat dan India, malah lebih besar daripada Jepun,” jelasnya.

Tegasnya, impaknya juga akan turut dirasai di Sarawak dan tidak mahu terus ketinggalan dan hanya dapat melihat pembangunan yang pesat di Kalimantan.

Suara Sarawak