Kuching, Serian dan Sri Aman kawasan ‘hot spot’ penyeludupan, penyusupan Pati

KUCHING: Kuching, Serian dan Sri Aman dikenalpasti sebagai kawasan ‘hot spot’ penyeludupan dan penyusupan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) menerusi sempadan Sarawak-Kalimantan.

Justeru, Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak Senior Asisten Saini Bongkek berkata pelbagai bentuk rondaan dijalankan oleh pegawai dan anggota mengikut kekerapan yang tinggi di kawasan ‘hot spot’ berkenaan, yang merangkumi jarak sejauh 476 kilometer.

“Bagaimanapun, kawasan-kawasan lain di sepanjang sempadan Sarawak – Kalimantan tetap diberi perhatian dan pemantauan yang serius dengan mempelbagaikan bentuk penugasan seperti rondaan berjalan kaki, berkereta, sekatan jalan raya, sekat pintas dan risikan sempadan,” katanya pada sidang media di Kawasan Latihan Hutan PGA Briged Sarawak, Batu Kawa di sini hari ini.

Beliau menambah pelbagai strategi dan modus operandi penyeludupan dan penyusupan PATI turut dikesan, membuktikan PGA tidak pernah leka untuk memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan begitu sahaja oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PGA akan terus mengukuhkan kawalan keselamatan di sempadan Sarawak – Kalimantan melalui Op Benteng Covid-19 yang sedang dilaksanakan kini, bagi memerangi tiga jenayah utama iaitu Pati, penyeludupan dadah serta aktiviti kontraban seperti rokok dan arak.

Sementara, Saini berkata PGA Briged Sarawak telah melakukan sebanyak 359 serbuan dengan 1,217 tangkapan serta pengusiran, termasuk membabitkan rampasan barang bernilai RM47.39 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Oktober 2021.

Pada masa sama, katanya jumlah tangkapan membabitkan seramai 211 warga tempatan yang terdiri daripada 186 lelaki dan 25 wanita, termasuk seramai 265 warga asing yang terdiri daripada 223 lelaki dan 42 wanita.

Selain itu, beliau berkata pengusiran turut dilakukan melibatkan seramai 741 warga asing yang terdiri daripada 613 lelaki dan 128 wanita termasuk kanak-kanak.

“Kesemua tangkapan dan pengusiran warga asing membabitkan rakyat dari Indonesia dan Filipina,” katanya.

GAMBAR: Lakonan tangkapan kegiatan penyeludupan kontraban menerusi sempadan yang dibuat sempena sidang media di Kawasan Latihan Hutan PGA Briged Sarawak, Batu Kawa hari ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak