Kurangkan risiko penyakit kronik

MIRI: Budaya sukan melalui amalan gaya hidup sihat, cergas dan aktif mampu mengurangkan risiko penyakit kronik dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

Residen Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf berkata, sambutan Hari Sukan Negara (HSN) adalah platfrom terbaik untuk menerapkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.

“Namun sukan tidak hanya berkisar tentang pencarian jaguh dunia tetapi juga penting dalam membentuk Malaysia yang lebih sihat,” katanya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Rose Edward Tarang sempena Pelancaran HSN Peringkat Bahagian Miri di Dewan Serba Guna IKBN Miri semalam.

Katanya, Malaysia kini berada di puncak ranking penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung. “Jika sekarang kita hanya berpeluh tubuh, kosnya bakal kita tanggung pada masa depan, bukan hanya dengan rakyat menghidap penyakit kronik tetapi juga kos perbelanjaan perubatan awam,” tegasnya.

Menurutnya, serangan penyakit dapat dielakkan jika masyarakat mengambil tahu dan bergiat aktif dalam gaya hidup sihat menerusi bersukan. “Saya juga mengingatkan agar masyarakat menjaga diri dari segi kesihatan khususnya pada pandemik Covid-19. Pada masa sama ikutlah SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Mengulas mengenai HSN jelasnya, ia platform terbaik untuk menerapkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat seterusnya mentransformasikan Malaysia ke arah pebudayaan sukan selain menjadi wadah perpaduan rakyat.

“Ia mungkin berlangsung sehari setahun, tetapi pada hari Sabtu kedua setiap Oktober adalah tarikh simbolik dan diharapkan kita teruskan budaya bersukan bukan hanya pada Hari Sukan tetapi sepanjang masa demi kesihatan,” jelasnya.

Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri Roley Lagir, pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, wakil Pengarah IKBN Miri Andrew Arih dan Pengarah Kolej Komuniti Miri Hazatta Morshidi turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak