Lahir pekerja mahir perhutanan

KUCHING: Universiti dan institut latihan perlu bekerjasama rapat dengan sektor perladangan hutan di negeri ini untuk membangunkan program atau kursus yang dapat menyediakan pekerja mahir.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pembangunan modal insan dan sektor tersebut boleh dipertingkatkan melalui projek kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi, sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Program tersebut boleh memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan mengenai potensi dan amalan terbaik spesies, pengurusan, silvikultur dan penuaian serta reka bentuk produk yang boleh dihasilkan daripada spesies yang ditanam.

“Spesies baharu tersebut juga mesti kompetitif dan boleh dipasarkan,” katanya ketika merasmikan Webinar Akasia Kesatuan Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (IUFRO) Ke-3 2021 di sini, pada Selasa.

Ujarnya, peralihan masa hadapan bukan kepada keuntungan sahaja, tetapi bergantung pencapaian produktiviti perladangan hutan memerlukan pekerja mahir, terlatih serta bermotivasi dalam menjayakan usaha tersebut.

“Selain itu, pensijilan perladangan hutan adalah penting untuk industri yang mampan dalam memastikan amalan pengurusan yang baik dan memberi hasil pengeluaran yang cekap. “Ini juga boleh membantu dalam meningkatkan keyakinan pasaran produk kayu daripada perladangan huta yang diurus dengan baik,” ujarnya.

Mengulas mengenai penggunaan teknologi dalam sektor terbabit, beliau berkata sistem pengimejan hiperspektral boleh digunakan dalam pemantauan seperti kejadian perosak dan penyakit, pemetaan jenis tanah, ramalan isi padu dan sebagainya.

“Bagi industri hiliran, kemajuan teknologi boleh membantu dalam pemprosesan kayu balak yang lebih baik bagi memastikan penggunaan optimum. “Sistem pengimejan hiperspektral yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mengandungi banyak data, termasuk komposisi spesies hutan semula jadi atau tanaman melalui diskriminasi dan pemetaan.

“Sistem ini juga berguna dalam mengesan dan memetakan sebarang penyelewengan yang terdapat dalam ekosistem hutan seperti spesies invasif, penyakit pokok, dan banyak lagi,” katanya lagi.

Tambahnya, teknologi penderia spektrum tinggi dan resolusi spatial juga boleh menentukan status kesihatan tumbuhan hutan di negeri ini. “Faedah ini termasuk pemantauan perosak dan penyakit, status nutrien, dan keberkesanan langkah kawalan dalam dirian hutan yang ditanam,” katanya.

Suara Sarawak