Lahirkan generasi berjiwa kental

PERKEMBANGAN terbaharu menyaksikan penurunan kes harian Covid-19 di seluruh negara, di bawah angka 10,000. Mungkin masih terlalu awal untuk kita menarik nafas lega.

Namun sedikit sebanyak penurunan ini memberi gambaran baik atas langkah-langkah berkaitan SOP yang telah kita semua usahakan selama ini. Mudah-mudahan trend bagi catatan kes ini akan terus menurun dan aktiviti sosioekonomi masyarakat kembali rancak.

Kita menyaksikan pelbagai aktiviti ekonomi yang mula disusun dengan strategi pemulihan berperingkat-peringkat. Pada masa yang sama, kita harus terbuka terhadap sebarang perubahan, penyesuaian dan pelarasan dari segi ketetapan, keputusan mahupun peraturan.

Dalam konteks pengurusan, perubahan kesesuaian yang dibuat akibat ketidakpastian situasi semasa adalah penting sebagai mekanisme kawalan. Namun ia harus dibuat berdasarkan julat kawalan yang munasabah.

Memahami keperluan perubahan ke atas sesuatu tindakan atau kata putus yang diambil semasa ketidaktentuan lebih mudah untuk diertikan dengan tindakan di peringkat individu.

Ada ketikanya individu perlu bersorong tarik apabila berada dalam keadaan dilema yang melibatkan percaturan dalam batasan sumber yang terhad. Situasi yang sama dilihat dalam keputusan untuk memenuhi permasalahan dan keperluan masyarakat, yang perlu dipertimbangkan dengan jangkaan kesukaran akan datang yang perlu diminimumkan.

Walaupun kandangkala keputusan yang diubah semula mungkin mendatangkan banyak persoalan dan ketidaksenangan. Ia harus dibuat sebagai satu tindakan pembetulan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar atau berterusan.

Penulis tertarik untuk mengupas konteks perubahan dalam pembuatan keputusan dengan dilema situasi yang dialami oleh golongan muda hari ini. Melihat keperluan bagi memulihkan pembelajaran yang telah terjejas sekian lama sejak pandemik bermula, keputusan untuk kembali bermula Oktober ini.

Kali ini, kita bermula setelah berbekalkan ikhtiar vaksinasi kepada warga sekolah dan pelajar bagi membendung impak teruk pandemik. Kita menyaksikan persediaan para pelajar untuk kembali ke sekolah, untuk sekian kalinya selepas mencuba berbagai pendekatan, sama ada SOP dan penjarakan fizikal di sekolah, mahupun pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Sama halnya dengan pelajar di institusi pengajian tinggi, yang rata-ratanya akan kembali ke kampus selepas ini. Masing-masing pastinya berasa teruja setelah sekian lama menantikan alam pembelajaran yang diinginkan. Yang pasti, susun atur pembelajaran diharapkan lebih bersesuaian dengan aktivitiaktiviti dan proses yang menyubur pengetahuan dan mematangkan fikiran mereka.

Pembelajaran memerlukan interaksi yang seimbang dengan fokus fikiran, hati yang terbuka dan jiwa yang bersemangat untuk berjaya, mendalami perkara yang baharu. Topik pembelajaran pun sudah menjadi cabaran dari segi input yang bersifat aras tinggi.

Ditambah lagi dengan penggunaan teknologi yang dirasakan asing bagi segelintir pelajar, khususnya mereka yang berada di luar bandar. Bayangkan, bukan mudah sebenarnya untuk memastikan kesemua pelajar kekal optimis dengan persekitaran pembelajaran yang dinamik dengan perubahan.

Dari segi fasiliti dan kemudahan pembelajaran, bukan mudah untuk individu pada usia muda seperti mereka memastikan susun atur yang kondusif. Malah ada yang terpaksa menyediakan keperluan pengajian secara bersendirian.

Ketiadaan liputan dan alat pencetak di rumah misalnya, sudah pasti melambatkan proses kerja sekali gus fokus lebih terarah kepada proses penyediaan bahan sebagai alternatif.

Cabaran pembelajaran yang mereka hadapi jauh berbeza berbanding kohort sebelumnya. Tidak dinafikan jika tidak kuat semangat menempuhi cabaran-cabaran ini, tentu saja godaan-godaan pelbagai permainan dalam talian yang berada di peranti yang sama dirasakan lebih menarik daripada pembelajaran sukar yang perlu diharungi.

Motivasi dan keinginan untuk berjaya seharusnya lebih kental menghadapi keterbatasan pergerakan dan aktiviti pembelajaran dibuat secara berseorangan di rumah. Walaupun mungkin ada ibu bapa atau adik-beradik yang melihat perkembangan ini, hakikatnya pelajar berasa bersendirian mencari haluan.

Realitinya, begitu besar keperluan untuk meletakkan keputusan berkait kelangsungan pembelajaran generasi harapan. Pembelajaran perlu diteruskan dengan semangat yang inginkan kejayaan, memenuhi aspirasi yang sama pada saat kita tidak bergelut dengan Covid-19.

Namun, dalam situasi yang sukar untuk dijangka dan kadangkala terdapat faktor di luar kawalan kita, misalnya jangkitan dan mutasi virus memungkinkan sesuatu keputusan dirombak mengikut keutamaan.

Melihat kepada senario ini, kita merenungkan akan keupayaan yang dibentuk pada 5-10 tahun akan datang. Lihatlah pada aspek-aspek yang perlu dijadikan input pengisian dalam pemikiran dan keperibadian generasi muda sekalipun bergelut dalam pembelajaran era pandemik.

Keterbukaan untuk mengharungi persekitaran yang dinamik adalah satu ciri yang seharusnya diterapkan dengan skala yang tinggi bagi generasi pelajar yang terjejas akibat pandemik.

Selain itu, adalah penting untuk melahirkan individu yang seimbang. Konsep seimbang begitu relevan dengan masa dan konteks kehidupan generasi hari ini. Bukan sahaja perlu seimbang dengan kemahiran IT, tetapi juga seimbang jiwa dengan ketahanan mental serta emosi.

Yang jelas, keputusan yang dibuat dalam membentuk masa depan generasi muda itu adalah bayangan bagi masa depan kita semua. Perubahan dan penyesuaian mengikut keperluan semasa, maka kita sama-sama cuba memastikan segalanya berada dalam julat kawalan yang selamat dan munasabah.

* Dr Aila Latif ialah Pensyarah Kanan bidang pengurusan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak