Lapan lelaki dicekup ketika sabung ayam

BINTANGOR: Seramai lapan lelaki diberkas ketika melakukan aktiviti sabung ayam dalam satu serbuan ke atas sebuah kawasan berhampiran sebuah rumah panjang di Jalan Tanjung Manis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, kesemua mereka itu berusia antara 33 hingga 63 tahun.

Turut dirampas dalam operasi kira-kira pukul 3.30 petang itu, katanya, tiga bilah taji ayam,satu unit penimbang, dua keping papan pertaruhan, empat ekor ayam yang telah mati dan seekor ayam masih hidup.

“Pada awalnya kesemua individu tersebut melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak polis namun, mereka akhirnya berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Kesalahan Dibawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.

Pada masa yang sama katanya, semua suspek juga dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang atas kesalahan di bawah peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit.

“Saya ingin menegaskan, Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan sabung ayam dan akan sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang PPN dipatuhi semua pihak sekali gus membendung penularan wabak Covid-19,” tegasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak