Lebih kerap terbang, lebih banyak penumpang

KUCHING: Kekerapan penerbangan masuk ke Sarawak akan dilakukan secara beransur-ansur dengan kapasiti muatan penumpang 100 peratus berbanding 60 peratus sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin (gambar) berkata, keputusan terbaharu tersebut akan berkuat kuasa pada  hari ini, 1 Oktober.

“Ini diikuti peningkatan secara beransur-ansur bagi jumlah penerbangan mingguan, bergantung jumlah maksimum  seperti yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Diharapkan dengan persetujuan kapasiti muatan100 penumpang serta kekerapan penerbangan daripada 22 seminggu ketika ini kepada 87 penerbangan sekali gus menurunkan kadar tambang,” katanya.

Tambahnya, cadangan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan secara beransuransur itu atas nasihat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan JPBN.

“Ini merangkumi pelbagai faktor lain seperti persediaan penerbangan yang datang ke Sarawak, tambang tinggi hingga RM1,500 sehala, permintaan sektor pelancongan, perjalanan  orang ramai dan nasihat pakar kesihatan.

“Ia juga penting dengan pembukaan semula sekolah, kolej dan universiti mulai Oktober ini  kerana terdapat banyak pergerakan pelajar dari Sarawak ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan sebaliknya,” ujarnya.

Di samping itu tambahnya, dengan SOP baharu yang tidak lagi mewajibkan kuarantin bagi individu yang lengkap dua dos memasuki negeri, diharap turut mempengaruhi  kenaikan jumlah penerbangan.

“Kami percaya dengan ini, orang ramai akan menghargai tindakan Kerajaan Sarawak terutama mengenai ketersediaan penerbangan dan paling penting tambang yang berpatutan,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menasihati penumpang supaya terus mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) dan JPBNS termasuk prosedur masuk ke Sarawak bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, katanya keputusan itu diperoleh menerusi mesyuarat semalam dengan semua syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Residen termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak