Lelaki buat laporan polis palsu didenda RM1,200

KUCHING: Seorang lelaki berusia 32 tahun dijatuhkan hukuman denda RM1,200 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu kononnya motosikal miliknya hilang dicuri orang, Oktober lalu.

Tertuduh berusia 32 tahun yang didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Blok E, IPD Kuching di hadapan seorang pegawai berpangkat sarjan sekitar jam 4.52 petang, 9 Oktober lalu.

Menurut fakta kes, tertuduh menyatakan bahawa motosikal miliknya diletakkan di Tebingan Kuching telah hilang dicuri orang sekitar jam 9.00 malam, 8 Oktober lepas.

Hasil siasatan mendapati tertuduh melakukan kesalahan memberi maklumat palsu secara bertulis apabila membuat laporan polis menyatakan motosikalnya hilang dicuri.

Bagaimanapun, sebelum kejadian kehilangan tersebut, tertuduh mengaku telah pergi ke sebuah kedai pembekal seramik bersama seorang kawan untuk mencari teman wanitanya.

Namun demikian, tertuduh dilihat oleh orang awam cuba membuka pintu pejabat di kedai sehingga membawa kepada pemeriksaan oleh pemilik kedai dan pekerjanya.

Sebaik sahaja melihat beberapa lelaki datang menuju kepada tertuduh dan rakannya lalu melarikan diri dan meninggalkan motosikal berkenaan di hadapan kedai terbabit.

Susulan daripada kejadian itu, tertuduh telah mereka cerita bahawa motosikal miliknya hilang serta gagal mengemukakan bukti bahawa duit sebanyak RM350 turut hilang beserta resit pembayaran ansuran bulanan.

Dalam pada itu, tertuduh juga dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan oleh Majistret Zaiton Anuar atas kesalahan menceroboh masuk kedai pembekal seramik.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kilang pembekal seramik di Batu Lima, Jalan Penrissen sekitar jam 7.00 malam, 8 Oktober lepas.

Menurut fakta kes, pengadu merupakan pemilik kedai menerima panggilan telefon daripada pekerjanya bahawa melihat dua orang lelaki tidak dikenali masuk ke kawasan pejabat namun berjaya melarikan diri dan meninggalkan sebuah motosikal.

Tertuduh berjaya ditangkap di perkarangan Blok E, IPD Kuching kerana dikenalpasti sebagai pemilik motosikal yang telah ditinggalkan di hadapan kedai berkenaan pada 9 Oktober lepas iaitu sehari selepas kejadian ceroboh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua Pegawai Pendakwa Raya iaitu Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak