Lelaki ceroboh pantri Klinik Tibi dipenjara 3 bulan

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh masuk sebuah pantri Klinik Tibi, Ogos lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Mohammad Azlie, 31, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan tersebut di sebuah pantri Klinik Tibi, Jalan Masjid sekitar jam 4.30 pagi, 13 Ogos lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pengawal keselamatan telah membuat rondaan sekitar jam 4.30 pagi mendapati pagar besi di bahagian belakang klinik telah dipotong.

Pengadu kemudian membuat pemeriksaan lanjut ke dalam klinik mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali sedang mengeladah bahagian pantri klinik berkenaan.

Selepas itu, pengadu keluar lalu mengikat pagar besi klinik supaya tertuduh gagal meloloskan diri lalu membawa dua rakannya yang merupakan anggota Rela untuk membawa tertuduh ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan pihak polis, mendapati tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk ke dalam kawasan klinik.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak