Lelaki curi kenderaan, motosikal di Miri berjaya diberkas

MIRI: Polis berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan yang mencuri kenderaan termasuk sebuah motosikal di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari berkata, suspek, 21 tahun pada awalnya telah mencuri sebuah Perodua Kancil pada 28 September lalu di perumahan Jalan Miri-Bintulu.

Katanya, susulan daripada laporan yang dibuat oleh mangsa, suspek ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada hari yang sama kira-kira jam 2.50 petang di kawasan Jalan Miri Bypass.

“Bagaimanapun, suspek telah diberi jamin polis setelah disahkan positif Covid-19 pada 6 Oktober dan telah dibawa ke pusat kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek telah melarikan diri dari pusat kuarantin pada awal pagi 7 Oktober.

“Ketika melarikan diri, suspek telah bertindak mencuri sebuah Van Toyota Hiace Window 2.5 milik sebuah gereja di Tudan.

“Van tersebut kemudiannya dijumpai ditinggalkan di sebuah kawasan di Jalan Bintulu-Miri kira-kira jam 9.40 malam pada 8 Oktober,” ujarnya.

Hakemal berkata, suspek meninggalkan van tersebut kerana dikejar oleh orang awam yang mengenal pasti van yang dilaporkan hilang itu.

“Suspek kemudiannya telah mencuri sebuah Proton Iswara pada 9 Oktober di Kampung Sungai Dalam, Jalan Bintulu-Miri dan kemudiannya meninggalkan di kawasan semak berhampiran Batu Niah.

“Sebuah motosikal milik seorang pengawal keselamatan turut dicuri oleh suspek dalam cubaan untuk melarikan diri selepas meninggalkan Proton Iswara yang dicuri awalnya,” katanya.

Beliau berkata, BSJD Miri telah berjaya menahan semula suspek pada awal pagi 10 Oktober hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam berkenaan pergerakan suspek.

Dalam pada itu, katanya, kejayaan tangkapan ini adalah atas kerjasama orang ramai yang sentiasa prihatin ke atas kejadian semasa jenayah semasa.

“IPD Miri juga ingin mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga harta benda persendirian bagi mengelakkan ia daripada dicuri individu yang tidak bertanggungjawab serta segera menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak