Lelaki didenda RM1,500 kerana tiada dokumen pengenalan diri ketika ditahan apabila disyaki pecah masuk kilang

KUCHING: Gara-gara lupa membawa kad pengenalan diri semasa ditangkap oleh pihak berkuasa kerana dipercayai cuba pecah masuk sebuah kilang, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh berusia 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan sebuah kilang yang beralamatkan Batu Kawa di sini, sekitar jam 1.00 pagi, 21 September lalu.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Peraturan 25 (1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, sekitar jam 1.00 pagi, 21 September lepas pengadu telah pergi ke kawasan kilang untuk membuat pemeriksaan kerana sebelum ini selalu dipecah masuk oleh orang yang tidak dikenali.

Semasa kejadian, pengadu ternampak kelibat seorang lelaki yang tidak dikenali sedang duduk atas sebuah motosikal dalam keadaan yang mencurigakan.

Pengadu kemudian menahan lelaki berkenaan dan menghubungi dua orang rakannya serta memohon bantuan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Selepas itu, sepasukan polis dari Balai Polis Batu Kawa telah pergi ke kilang berkenaan lalu menahan dan merampas sebuah motosikal milik tertuduh.

Hasil siasatan juga mendapati tertuduh tidak memiliki pengenalan diri dan gagal memberikan dokumen pengenalan diri yang sah kepada pihak polis.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dan boleh dituduh di bawah Peraturan 25 (1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak