Lelaki ditahan pukul teman wanita

KUCHING: Seorang lelaki ditahan susulan rakaman video yang menunjukkannya memukul teman wanitanya di sebuah kedai makan di Jalan Pending, di sini tular dalam Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, kira-kira jam 6 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan salah faham antara pasangan kekasih warga tempatan itu, yang berumur dalam lingkungan 30 tahun.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku semalam, sebelum video berdurasi 20 saat yang dirakam Kamera Litar Tertutup (CCTV) di premis terbabit, yang menunjukkan tindakan suspek memukul teman wanitanya tular di Facebook.

Ahsmon berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya siasatan akan diteruskan dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak