Lelaki lepas, bebas tuduhan amang seksual kanak-kanak empat tahun

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, dua tahun lalu.

Hakim Jason Juga membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Harry Kuling Dugu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Taman Desa Ilmu pada Julai 2019 dan merupakan rakan kepada ibu mangsa yang menyewa bersama di rumah tersebut.

Bapa mangsa yang dalam proses perceraian dengan isterinya membuat laporan mendakwa tertuduh telah melakukan amang seksual terhadap anaknya.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh diwakili Penguam Ateng Jeros.

Suara Sarawak