Lelaki maut van terbabas ke dalam parit

MUKAH: Seorang pemandu lori maut setelah van yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas berhampiran Jalan Mukah-Selangau, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata mangsa yang berusia 53 tahun dari Sungai Plan, Bintulu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan kendiri tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari Selangau menuju ke arah Mukah.

“Sebaik tiba di kawasan Rumah Panjang Kilan, Jalan Mukah-Selangau, van yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke dalam parit di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau.

Rizal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak